Live Tutorial Matematik dan Sains eKelas
7 Julai 2019 | Aktiviti TerkiniPada 6 Julai 2019 yang lalu, Pusat Internet Kg Lawang telah mengadakan program bersama Maxis bagi pembelajaran e-Learning Matematik dan Sains melalui Live Tutorial eKelas. Pihak Maxis telah menyediakan nota padat, sesi latih tubi,tips menjawab soalan dan banyak lagi persediaan daripada guru eKelas dalam membantu pelajar dalam UPSR, PT3 dan SPM. Namun, pada hari ini murid-murid darjah enam tidak dapat mengikuti kelas di PI Lawang seperti kebiasaannya kerana mereka perlu menghadiri kelas tambahan yang dibuat oleh guru di sekolah.
Pada hari ini, guru dan murid belajar sambil membuat aktiviti untuk menarik minat pelajar untuk belajar. Guru juga banyak bertanyakan kepada pelajar berkenaan pembelajaran yang telah lepas iaitu sesi ulangkaji bagi topik yang telah dipelajari. Bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1, mereka diminta untuk duduk dalam kumpulan masing-masing. Peralatan yang diperlukan adalah kertas A4 atau kertas mahjong dan pen magik dan kemudian mereka perlu membina satu carta alir bagi proses homeostasis yang berlaku dalam badan manusia melibatkan peningkatan dan penurunan suhu badan dengan sertakan sekali semua organ yang terlibat dalam proses homeostasis tersebut. Dalam carta alir tersebut, mereka haruslah memberi penerangan lengkap bagi setiap proses yang berlaku dan setelah selesai mereka perlu memuat naik ke dalam portal gambar carta alir yang telah dihasilkan. Ini adalah merupakan aktiviti bagi subjek Sains.
Bagi subjek Matematik pula, setiap kumpulan akan diberikan pembaris, kertas dan pen atau pensel. Setiap kumpulan dikehendaki untuk mengukur panjang setiap sisi kelas masing – masing dan melakarkan setiap ukuran di dalam kertas yang diberikan. Setiap kumpulan kemudiannya dikehendaki untuk menghitung perimeter dan luas kelas masing – masing berdasarkan rumus yang sesuai. Kemudian mereka perlu memuat naik hasil kerja mereka di dalam Portal eKelas.
Bagi aktiviti Sains Tingkatan 2 pula, pelajar diminta duduk di dalam kumpulan masing-masing. Alatan yang diperlukan adalah Kertas mahjong dan pen magik. Mereka dikehendaki melukis bahan-bahan yang berada dalam pH tertentu. Bagi subjek Matematik pula, pelajar melakukan aktiviti berkaitan koordinat. Merujuk kepada gambarajah yang diberikan oleh guru, pelajar-pelajar mestilah menentukan koordinat bagi setiap titik yang ada dalam Satah Cartes tersebut dan menghitung jarak di antara titik B dan E, C dan F dan kemudiannya titik G dan H. Setelah selesai, mereka perlu memuat naik ke dalam portal.
Tujuan kelas ini diadakan adalah sebagai sesi pendekatan bagi pelajar belajar bersama guru secara atas talian. Di samping itu, ia juga dapat memanfaatkan kuasa platform digital bagi tujuan penambaikan terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris dikalangan pelajar luar bandar. Seramai 14 orang pelajar daripada Darjah 6 hingga Tingkatan 5 telah menyertai kelas pada hari ini yang berlansung selama 3 jam bermula 3.00 petang hingga 6.00 petang. Semoga dengan pendekatan ini lebih ramai lagi pelajar-pelajar akan datang ke Pusat Internet Kampung Lawang untuk menggunakan Portal eKelas.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: